Portal ini diwujudkan sebagai satu wadah untuk berkongsi dan menyebar maklumat serta peristiwa yang berlaku di sekolah ini sejajar dengan konsep memasyarakatkan sekolah. Pandangan, cadangan atau komen adalah dialu-alukan dan boleh disalurkan terus kepada kami.
Terima kasih.

Isnin, Februari 01, 2010

Tahun Baharu Cina

Sejarah
Sebelum Dinasti Qin, tarikh perayaan permulaan sesuatu tahun adalah tidak jelas. Ada kemungkinana bahawa awal tahun bermula dengan bulan 1 ketika Dinasti Xia, bulan 12 ketika Dinasti Shang, dan bulan 11 ketika Dinasti Zhou di China. Namun, adalah diketahui bahawa "bulan lompat" yang dipakai untuk memastikan kalendar qamari selari dengan matahari, sentiasa ditambah selepas bulan 12 ketika Dinasti Shang (menurut catatan tulang orakel yang masih wujud) dan Zhou (menurut Sima Qian). Maharaja pertama China Qin Shi Huang menukar dan menetapkan awal tahun pada bulan 10 pada 221 SM. Sama ada Tahun Baru diraikan pada awal bulan 10 atau bulan 1, atau kedua-duanya, itu tidak diketahui. Pada 104 SM, Maharaja Wu yang memerintah sewaktu Dinasti Han menetapkan bulan 1 sebagai awal tahun, yang masih kekal sampai masa ini.

Mitos
Puisi Tahun Baru Cina tulisan tangan ditampal pada pintu ke rumah orang, di Lijiang, Yunnan, China. Menurut legenda, pada zaman dahulu, Nián ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 12 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai kemudiannya percaya bahawa raksasa Nian sukar menahan bunyi bising dan warna merah, maka mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru yang sulung. Guò nián, yang bermaksud "menyambut tahun baru", membawa erti harfiah "meredah raksasa Nian".

Sambutan Perayaan
Sambutan Tahun Baru Cina ditandakan oleh penziarahan ahli keluarga saudara-mara dan sahabat, serta penggunaan warna merah yang berlebihan. Ang pau diberi kepada orang muda dan kanak-kanak oleh orang tua dan yang telah kahwin.

Sebelum Tahun Baru
Pada hari-hari sebelum Tahun Baru, keluarga-keluarga Cina membersihkan rumah mereka secara menyeluruh, kerana mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik. Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Ada orang yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.
Acara terbesar pada malam Tahun Baru Cina ialah jamuan pertemuan semula. Hidangan yang terdiri daripada ikan terdapat di atas meja makan untuk tujuan paparan sempena jamuan ini. Di China utara, adalah juga menjadi adat untuk memakan ladu untuk jamuan ini. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa tongkol emas Cina. Ang pau bagi ahli terdekat dalam keluarga kadang-kadang diberi sewaktu jamuan pertemuan semula. Paket ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan.

Hari Pertama
Hari pertama adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Kebanyakan orang yang meraikannya, terutamanya penganut agama Buddha, menghindari diri daripada memakan daging pada hari ini kerana adalah dipercayai bahawa ini memastikan mereka akan lanjut usia.
Paling penting sekali, hari pertama Tahun Baru Cina merupakan masa apabila keluarga Cina menziarahi orang tua mereka dan ahli keluarga paling senior dalam seluruh keluarga mereka, biasanya ibu bapa, datuk nenek atau moyang.
Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah.

Hari ke-2
Hari kedua Tahun Baru Cina atau hari "membuka tahun" menyaksikan anak perempuan yang telah kahwin untuk menziarahi ibu bapa kandung mereka. Menurut tradisi, anak perempuan yang telah kahwin mungkin tidak banyak berpeluang menziarahi keluarga kandung sendiri.

Hari ke-3
Hari ketiga perayaan ini dipercayai ramai sebagai hari yang tidak sesuai untuk menziarahi saudara mara atas kepercayaan berikut:
Hari ini dikenali sebagai "mulut merah", yang bermaksud bahawa adalah amat mudah untuk terlibat dalam pergaduhan, maka hari ini tidak sesuai untuk ziarah-menziarahi, sebaliknya berdiam di rumah sahaja. Keluarga yang mengalami kematian ahli terdekat dalam jangka masa tiga tahun lalu tidak akan menziarahi rumah sesiapa sebagai tanda penghormatan kepada si mati. Hari ketiga Tahun Baru wajar dijadikan hari menziarahi kubur.

Hari ke-5
Di bahagian utara China, ladu dijadikan sarapan pada pagi "pecah lima". Ini juga merupakan ulang tahun hari lahir Cai Shen, dewa kekayaan Cina. Di Taiwan, perniagaan biasanya dibuka semula pada hari tersebut dan diserikan oleh pemetik api.

Hari ke-7
Hari ketujuh dikenali sebagai hari jadi orang ramai , iaitu hari yang mana usia setiap orang ditambah lagi setahun menurut pengiraan kalendar qamari Cina.
Inilah harinya bila salad ikan mentah lambung, yee sang, dimakan. Kaum sekeluarga berkumpul untuk melambung salad berwarna-warni dan menyampaikan hajat bagi menambahkan kekayaan dan kemakmuran. ini merupakan adat resam yang terutamanya diamalkan oleh kaum Cina di rantau Asia Tenggara, seperti Malaysia dan Singapura, tetapi jarang diamalkan oleh kaum Cina di merata dunia selain rantau tersebut.

Hari ke-9
Hari kesembilan tahun baru merupakan hari bagi kaum Cina untuk menyembah Maharaja Jed di Kayangan (tiān gōng) di tokong agama Tao.
Tambahan pula, hari ini dianggap sebagai "tahun baru" suku kaum Hokkien. Apabila tibanya tengah malam pada hari kelapan tahun baru, suku Hokkien menyembahkan doa syukur kepada Maharaja tersebut. Penyembahan ini termasuk tebu kerana tebu pernah digunakan untuk melindungi suku Hokkien dari ancaman penghapusan beberapa generasi lalu.
Teh dituang sebagai adat bagi menghormati orang ternama.

Hari ke-15
Ini adalah hari terakhir perayaan Tahun Baru Cina yang diraikan sebagai Yuánxiāo jié, atau Chap Goh Mei dalam bahasa Hokkien, versi Cina bagi Hari Valentine. Tāngyuán, bebola pulut manis dalam sup, dimakan pada hari ini.Tāngyuán ialah sejenis makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut. Tepung pulut ini dicampur dengan sedikit air untuk membentuk bebola, kemudian dimasak dan dihidangkan dalam air yang mendidih. Tangyuan bolehlah sama ada berisi atau tanpa isi. Bergantung kepada amalan setempat, hari yang sama ini juga dikenali sebagai Perayaan Tanglung.

Hidangan Tahun Baru
Jamuan pertemuan semula

Jamuan pertemuan semula (tuányuán fàn) diadakan pada malam sebelum Tahun Baru, ketika semua ahli keluarga, sama ada tinggal di rumah atau jauh dari kampung halaman, bertemu untuk perayaan. Jamuan ini biasanya diadakan di rumah yang didiami anggota keluarga paling tua. Jamuan ini amat kaya dengan makanan yang lazimnya merangkumi daging ayam dan ikan. Ikan (yú) sebagai makanan penting, tidak dimakan sampai habis (sebaliknya, bakinya disimpan semalaman), bak pepatah Cina nián nián yú , yang bermakna "semoga ada lebihnya setiap tahun", yang sama bunyinya dengan "semoga ada ikan setiap tahun."

Intisari Makanan

Luohan zhai
Luohan zhai ialah hidangan vegetarian yang biasanya merangkumi 18 bahan, sering disaji pada hari pertama Tahun Baru. Sejenis lumut berbentuk rambut manusia, disebut "fat choy" dalam bahasa Kantonis sering menjadi ciri-ciri utama hidangan Buddha dan sajian lain, kerana namanya sama bunyinya dengan "kemakmuran". Suku kaum Hakka biasanya menyaji kiu nyuk dan yong tau fu.

Ikan
Ramuan yang penting sepanjang sambutan tahun baru. Sebutan perkataan Cina bagi ikan serupa dengan "lebihan".

Yee sang
Salad ikan yang dilambung cebisan ramuannya apabila disambung untuk menyambut tuah.

Ladu jiaozi
Ladu ini dimakan di China utara kerana bentuknya serupa dengan tongkol emas Cina kuno, seolah-olah berisi tuah.

Limau mandarin
Limau ini merupakan buah-buahan paling kerap ditemui semasa perayaan tahun baru. Fungsi buah limau mandarin bagi masyarakat Cina ialah untuk dipuja di Tokong dan daunnya untuk buang sial, buah limau mandarin pula melambangkan kesejahteraan dan kemewahan.

Kuih bakul
Kuih ini paling laris didapati di China timur (Jiangsu, Zhejiang dan Shanghai) kerana namanya serupa sebutan dengan "kian tahun kian tinggi".

Mi
Mi dihidangkan tanpa dipotong, melambangkan panjang hayat, namun amalan ini tidak terhad kepada sambutan tahun baru.

Gula-gula
Gula-gula dan buah-buahan kering disimpan dalam kotak gula-gula Cina berwarna merah atau hitam.

Tikoy
Puding yang diperbuat daripada tepung pulut, kanji gandum, garam, air, dan gula. Warna gula yang digunakan menentukan warna puding ini (putih atau perang).

Amalan Tahun Baru
Ang pau
Secara tradisi, ang pau atau sampul merah diedarkan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina, oleh pasangan suami isteri atau orang tua kepada muda-mudi yang belum berkahwin. Adalah satu kebiasaan untuk orang dewasa memberi sampul merah ini kepada kanak-kanak.
Sampul merah ini sentiasa mengandungi wang, sama ada dua ataupun seratus ringgit. Jumlah wang dalam angpau sepatutnya bermula (bukan berakhir) dengan angka genap, kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang tunai yang ditukarkan dalam upacara pengebumian (bó jīn). Oleh sebab angka 4 dianggap membawa sial, kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati, maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah 4 ringgit. Sementara itu, angka 8 dianggap bertuah (kerana sama bunyinya dengan "kaya"), maka 8 ringgit selalu didapati dalam angpau. Kadang-kala syiling coklat dimasukkan dalam angpau.

Pasar Tahun Baru
Pasar khas didirikan menjelang Tahun Baru untuk menjual barangan Tahun Baru. Pasar ini biasanya berbentuk pasar terbuka dan menampilkan barangan bunga, mainan, pakaian dan sebagainya kepada para pembeli untuk membeli hadiah untuk kunjungan tahun baru atau sebagai hiasan rumah.

Bunga api
Pada zaman silam, batang buluh yang berisi serbuk meriam dan dibakar untuk menghasilkan letupan kecil pernah digunakan di China untuk mengusir puaka. Pada zaman moden pula, kaedah ini berubah menjadi penggunaan mercun pada musim perayaan. Mercun biasanya diikat pada tali panjang berlakur yang digantung. Setiap batang mercun digulungkan dalam kertas merah kerana warna merah itu bertuah, dan berisi serbuk merian dalam terasnya. Apabila dibakar, mercun melepaskan bunyi meletup-letup yang kuat. Oleh sebab mercun biasanya berangkai dalam bilangan ratusan, mercun menghasilkan letupan memekakkan yang dipercayai boleh mengusir roh-roh jahat. Penyalaan mercun juga melambangkan peristiwa yang ria dan menjadi satu aspek penting dalam sambutan Tahun Baru Cina.

Pakaian
Pemakaian yang melebihkan warna merah sering dipakai sepanjang Tahun Baru Cina kerana dipercayai warna merah akan menakutkan roh jahat dan nasib malang. Tambahan, orang yang memakai baju baru dari kepala hingga kaki pula melambangkan permulaan baru pada tahun baru.

Shou Sui
Shou Sui berlangsung apabila ahli keluarga berkumpul bersama pada malam selepas makan malam bersama dan mengenangkan tahun yang telah berlalu sementara menyambut tahun yang akan tiba. Sesetengahnya percaya bahawa anak-anak yang Shou Sui akan memanjangkan usia ibu bapa.

Simbol
Sepanjang 15 hari Tahun Baru Cina, orang akan mula melihat pantang larang atau kepercayaan budaya tradisional dengan maksudnya yang boleh mengelirukan orang yang tidak menyambutnya. terdapat sebab yang menerangkan semuanya, bukan sekadar hiasan, yang berputarkan warna merah. Pada satu-satu masa, emas merupakan warna pendamping bagi sebab yang sangat jelas. Satu sebab baik dan biasa bagi poster merah berbentuk berlian dengan aksara (fú), atau "tuah" yang dipamerkan sekitar rumah dan pintu. Tanda ini sering kelihatan tergantung terbalik, memandangkan perkataan Cina (dào), atau "terbalik", berbunyi sama dengan (dào), atau "tiba". Maka, fú dào melambangkan ketibaan tuah, kegembiraan dan kemakmuran.

Ikon dan hiasan

Ikan
Ikan koi sering kelihatan dalam lukisan. Sajian berhias yang memaparkan ikan juga dapat dilihat. Ikan melambangkan lebihan atau simpanan tambahan supaya ada lebih untuk hidup pada baki tahun. Ikan berpadu dengan pepatah Cina (niánnián yuyú).

Jongkong Yuanbao
Yuanbao emas (jīn yuánbo) melambangkan wang dan/atau kemewahan. Jongkong berbentuk Yuanbao ini merupakan perantara pertukaran piawaian di China zaman silam.

Tanglung
Tanglung kertas Cina tradisional ini biasanya berbeza daripada tanglung yang digunakan ketika Perayaan Kuih Bulan. Tanglung ini berwarna merah dan selalunya berbentuk bujur. Tanglung-tanglung yang digunakan pada hari ke-15 Tahun Baru Cina untuk Pesta Tanglung, dinyala terang-terang, berwarna-warni, dan berbagai-bagai saiz dan bentuknya.

Perhiasan
Hiasan secara amnya menyampaikan ucapan Tahun Baru. Poster kaligrafi Cina memaparkan peribahasa Cina. Hiasan-hiasan lain termasuk gambar Tahun Baru, simpul Cina, keratan kertas dan gurindam.

Tarian singa
Tarian singa sering diadakan pada Tahun Baru Cina. Adalah dipercayai bahawa pukulan gendang yang kuat dan bunyi simbal yang memekakkan serta wajah singa yang menari dengan agresif sekali boleh mengusir puaka jahat. Tarian singa juga dipamerkan pada upacara pembukaan perniagaan orang Cina.

Cai Shen
Cai Shen merupakan dewa kekayaan yang disembah orang agar memperoleh tuah dan berkat pada malam Tahun Baru dalam kepercayaan Cina.

Balik kampung
Waktu Tahun Baru Cina juga menyaksikan penghijrahan manusia bermusim yang terbesar, apabila warga luar bandar yang bekerja di kawasan bandar China, serta juga orang Cina seberang laut di seluruh dunia pulang ke kampung halaman untuk berjamuan bersama sanak saudara pada malam tahun Baru. Tempoh ini dipanggil "Chunyun" dan boleh disamakan dengan fenomena "balik kampung" sewaktu masyarakat Melayu menyambut Aidilfitri. Masyarakat Cina Malaysia tidak terkecuali daripada balik kampung.

Rumah terbuka
Ketika menyambut perayaan utama di Malaysia, rumah terbuka diadakan oleh golongan pembesar negeri untuk menjemput rakyat berbilang kaum dan agama, dan juga pelancong asing, beraya bersama-sama. Tahun Baru Cina tidak terkecuali, dan rumah terbuka perayaan ini dianjurkan oleh pembesar kaum Cina.

Ucapan
Tahun Baru Cina diserikan dengan ucapan yang diucap dengan kuat dan ghairah, yang dikenali sebagai "ungkapan pembawa tuah" (jíxiáng hùa).

Gong xi fa cai
"Gong xi fa cai" (gōngxi fācái; gūnghéi faatchòih; Kiong-hí hoat-châi; Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki". Ungkapan ini yang sering tersalah angggap sebagai bersinonim dengan "Selamat tahun baru" mula digunakan berabad-abad lalu. Dua aksara pertama ungkapan ini mempunyai kepentingan sejarah yang lebih lama (menurut legenda, ucapan tahniah adalah bagi kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, namun secara praktis ini juga boleh melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk); manakala dua aksara terakhir ditambah sebagai menyentuh idea kapitalisme dan konsumerisme yang makin penting di kalangan masyarakt Cina seluruh dunia. Ucapan ini kerap didengar di kalangan komuniti yang berbahasa Inggeris sewaktu Tahun Baru Cina di beberapa tempat dsi dunia yang mempunyai komuniti berbahasa Cina yang ketara, termasuk komuniti pendatang Cina yang lama menetap selama beberapa generasi, serta pendatang baru dari tanah besar China, Hong Kong, Macau dan Taiwan, dan pendatang transit (khususnya golongan siswa).
Pantang-larang sewaktu perayaan
Tuah baik
Membuka pintu dan tingkap dianggap menjemput masuk tuah pada tahun baru.
Membiarkan lampu menyala semalaman dipercayai menghalau hantu dan puaka pembawa musibah yang mampu mempengaruhi nasib sekeluarga sepanjang tahun.
Gula-gula dan manisan dimakan untuk "memaniskan" nasib sepanjang tahun bagi pemakannya.
Pembersihan rumah di setiap sudut wajib dilangsungkan sebelum hari tahun baru agar mudah menerima tuah bagi tahun yang menjelang.
Ada orang yang percaya bahawa apa yang berlaku pada hari pertama mencerminkan peristiwa yang akan berlangsung sepanjang tahun. Maka, orang Asia mengambil kesempatan untuk berjudi pada hari pertama ini bagi menaruh harapan untuk menambah kekayaan.
Memakai selipar baru yang dibeli sebelum tahun baru bermaksud memijak orang yang bergosip tentang pemakainya.

Nasib Malang ("Tuah buruk")
Membeli kasut baru dianggap pembawa malang bagi sesetengah orang Cina kerana perkataan bahasa Kantonis bagi "kasut" sama bunyinya dengan perkataan "kasar" atau "sukar".
Membeli seluar baru juga dipandang sebagai pembawa malang kerana perkataan Kantonis bagi "seluar" sama bunyinya dengan "pahit". (Namun ada yang menganggapnya sebagai positif, kerana perkataan bagi "seluar" dalam dialek itu juga sama bunyinya dengan "kaya".)
Menggunting rambut juga ditegah kerana perkataan bagi rambut sama bunyinya dengan hasil. Maka menggunting rambut juga dipandang sebagai "memotong hasil dalam bahasa Kantonis".
Mencuci rambut juga dianggap sebagai mencuci keluar kekayaan (namun perihal kebersihan sering telah mengatasi tradisi ini.)
Menyapu lantai juga dilarang pada hari pertama kerana ini akan menyapu keluar tuah bagi tahun baru.
Perbualan mengenai kematian juga kurang sesuai bagi beberapa hari terawal Tahun Baru Cina kerana ini turut dianggap tidak bagus.
Membeli buku juga membawa malang kerana perkataan sesetengah dialek Cina bagi "buku" sebunyi dengan perkataan bagi "kalah".

0 comments:

Catat Ulasan

 

edited

Dikemaskini pada 25 Februari 2013 jam 10.09 am

Paparan terbaik 1024 x 768 ke atas

Sila gunakan MOZILLA FIREFOX 3 ke atas sahaja. Portal ini tidak diuji sepenuhnya menggunakan browser lain.

Penafian : Kami tidak bertanggung jawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan akibat penggunaan bahan di dalam portal ini.

PORTAL RASMI SK PENYABONG ENDAU Copyright © 2012 Diselenggara oleh cikgu ijam